Iklan

Selasa, 7 Disember 2010

Salam Maal Hijrah

Selamat menyambut Maal Hijrah 1432.

Isnin, 15 November 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam.

Isnin, 8 November 2010

Perihal Makanan - Alinazik

Alinazik atau Alinazik kebab adalah makanan orang Turki yang berasal dari wilayah Gizantep, tenggara Turki. Bahan paling asas untuk alinazik adalah terung. Terung ini biasanya dipanggang terlebih dahulu dengan campuran green pepper, garam dan rempah. Kemudian daging cincang dan yoghurt diletakkan di atasnya. Biasanya alinazik dihidangkan dengan mentega cair dan juga nasi pilaf.

Alinazik Sumber: turkishcookingclass.blogspot.com


Alinazik dimakan bersama nasi

Makanan ini boleh didapati secara meluas di negara Turki. Adapun ia juga mudah didapati di negara-negara eropah lain yang terdapat restoran makanan Turki. Di eropah, sepinggan alinazik ini biasanya berharga 9-15 Euro.

Isnin, 1 November 2010

Bosnia Siri 01 Geografi

Neum, Bosnia
  1. Bosnia atau nama panjangnya Republik Bosnia dan Herzegovina terletak di eropah dan terletak di barat negara-negara Balkan.
  2. Negara ini berkeluasan 51 129 km persegi ini mempunyai penduduk seramai lebih kurang 4.6 juta sehingga kini. 
  3. Bosnia berjiran dengan Croatia di sebelah utara, barat dan selatan, Serbia di timur dan Montenegro di Selatan. 
  4. Jika dilihat secara kasar di dalam peta eropah mahupun dunia, ramai yang akan menganggap Bosnia ini negara yang tidak mempunyai kawasan pesisiran pantai, hakikatnya negara ini mempuyai kawasan pesisiran laut Adriatic sepanjang 26 km yang berpusat di bandar Neum.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Terengganu Siri 01 Fakta Ringkas

Kedudukan Terengganu dalam Peta Malaysia


Ibu negeri                              :  Kuala Terengganu                                       

Ketua negeri                          : Sultan

Bendera Negeri
Ketua eksekutif negeri           : Menteri Besar

Populasi                                : Lebih kurang 1.1 juta (sehingga 2010)

Keluasan                               : 12 955 km persegi

Kepadatan penduduk            : 86.5/km persegi

Lambang Negeri
Kod panggilan                       : 09                                                                 

Poskod kebangsaan               : 20xxx - 24xxx

Huruf pertama plat kenderaan : T

Bilangan Daerah                     : Tujuh 
(Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman)





Isnin, 25 Oktober 2010

Nice Siri 01 Info Berguna

Nice dimaksudkan di sini merujuk kepada bandar pesisir pantai yang merupakan bandar kelima terbesar di Perancis. Ia terletak di kawasan yang dipanggil French Riviera atau nama tempatannya Côte d'Azur. Nice disebut sebetulnya nis (niece dalam bahasa inggeris) bukan nice sebagai mana sebutan Inggeris. Adapun ada mereka mengatakan Nice is nice dengan dua sebutan berbeza untuk menggambarkan kemenarikannya tempat ini. Post kali ini berkisar tentang info yang mungkin berguna ketika mengunjungi Nice.

Nice

Get Around

Sebenarnya cara terbaik untuk explore Nice adalah dengan cara berjalan kaki. Walaupun Nice itu satu bandar yang besar, kawasan tumpuan pelancongnya hanyalah sekitar kawasan centre yang berradius 20 minit perjalanan dengan berjalan kaki. Kawasan tumpuan adalah di luar Cimiez, iaitu kawasan penempatan kelas tinggi. Kawasan tumpuan pelancong biasanya tertumpu di bahagian old town dan juga kawasan membeli belah selain kawasan pesisiran pantai yang berhampiran. Jadi kenderaan bermotor seperti bas dan teksi dilihat kurang praktikal. Kereta sewa juga dilihat kurang sesuai disebabkan oleh kesukaran mendapat tempat parkir dan tempat parkir yang mahal, agak kurang berbaloi.

Pun begitu kenderaan awam juga ada di Nice.Nice mempunyai jaringan pengangkutan awam yang bernama Lignes d'Azur. Mungkin untuk ke kawasan yang agak jauh dari centre, atau mungkin juga malas berjalan kaki, kenderaan awam ini boleh digunakan. Tambangnya amatlah berpatutan. Hingga hari ini, tambang untuk satu hala hanyalah 1 euro. Selain itu terdapat pelbagai lagi jenis tiket seperti 10 journeys (10 euro), tiket harian (4 euro) dan lain-lain lagi. Harga mungkin berubah dari semasa ke semasa. Sentiasalah rujuk di website rasmi Lignes d'Azur untuk maklumat terkini. Pada tahun 2007 lalu, bandar Nice telah memulakan khidmat tram untuk memantapkan lagi sistem pengangkutan awam bandar ini.

Anda juga boleh menyewa motosikal, basikal mahupun roller blade atau inline skating untuk merasai kelainan melawat Nice.

Makan

Socca
Nice biasanya menjadi tempat tumpuan orang-orang kaya untuk bercuti, jadi mencari makanan yang murah memerlukan banyak kesabaran. Adapun belanja bagi pelancong bajet untuk sehari adalah bawah 20 Euro. Biasanya, penjimatan boleh dilakukan apabila membeli makanan di pasar raya. Makanan seperti roti, tuna, sardin, jem dan sebagainya boleh menjadi sumber tenaga.
Makanan special di Nice antaranya adalah Socca, Soupe de Poisson, Salade Nicoise dan Tourtes aux Blettes. Seperti tempat lain di Perancis, Baguette juga menjadi pilihan makanan yang menarik di sini. Harga  sekitar 4-6 Euro bergantung kepada inti.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Senarai 001 - Barang-barang Keperluan untuk Bercuti Biasa

Barang-barang yang biasa dibawa ketika percutian biasa di hotel, hostel, resort dan seangkatannya.

Gambar hiasan

Pakaian

* Baju kasual  * Baju tidur * Kasut * Selipar * Pakaian dalam * Seluar panjang dan pendek
* Kain pelikat/batik * Baju sukan * Baju renang

Toiletries

* Sabun mandi * Berus gigi * Ubat gigi * Deodrant * Perfume * Sikat * Lip balm * Shampoo * Alat cukur

Ubat-ubatan

* Panadol * Sunblock * Ubat anti-diarrheal * Minyak angin * Minyak gamat * Plaster

Ubat-ubatan diperlukan juga

Isnin, 18 Oktober 2010

Bergen Siri 02 Tarikan

Ini adalah sambungan daripada siri 01.
Post kali ini akan berkisar tentang satu tempat yang bernama Bryggen.

Bryggen adalah susunan bangunan komersial binaan kayu yang sangat berpengaruh di bandar Bergen suatu ketika dahulu. Ianya dibina di sepanjang pelabuhan di bandar ini. Bandar Bergen diasaskan pada tahun 1070 dan Bryggen menjadi bahagian bandar yang tertua di Bergen.


Bryggen
Mengikut sejarah, bandar Bergen sering mengalami kebakaran suatu ketika dahulu yang memusnahkan banyak rumah yang terdiri daripada rumah-rumah kayu. Kebakaran yang dahsyat berlaku pada tahun 1702 memusnahkan Bryggen. Selepas itu, struktur bangunan ini dibina semula di atas tapak yang sama. Saki baki 61 bangunan yang tinggal pada hari ini telah disenaraikan salah satu daripada warisan kebudayaan dunia oleh UNESCO.

Fakta UNESCO


  • Negara   : Norway                                                          
  • Jenis       : Kebudayaan (Cultural) 
  • Rujukan  : 59 
  • Region    : Eropah dan Amerika Utara                 (Rujukan UNESCO)


Jumaat, 15 Oktober 2010

Istanbul Siri 02 Sejarah Ringkas

Istanbul mempunyai sejarah yang sangat menarik. Pernah menjadi ibu kota bagi bagi tiga empayar penting dunia iaitu Rom, Byzantine dan juga Othamaniyyah. Istanbul juga dikenali dengan pelbagai nama kerana keagungan sejarahnya. Byzantium, Constantinople, Stamboul, Islambol adalah nama-nama bagi Istanbul yang mempunyai sejarah tersendiri.



Garis masa sejarah untuk Istanbul boleh diringkaskan begini:

Bizantion/Byzantium (660 SM - 324M)

Sejarah Istanbul bermula di sini. Adapun terdapat juga sejarah sebelum era ini. Bizantion atau nama latinnya Byzantium adalah bandar Istanbul purba yang diasaskan oleh orang Greek/Yunani dari Magera (dekat Athens) atas arahan seorang raja bernama Byzas. Bandar ini didirikan di sebelah Eropah Istanbul masa kini.
Keputusan Bizantion besekutu dengan usurper Pescennius Niger untuk melawan Roman Emperor Septimus Severus membawa padah. Severus menang dan membangunkan kota ini.

Ibu Kota Empayar Rom (324M - 395M)

Bilamana Constantine I mengalahkan Licinius ketika Battle of Chrysopolis pada tahun 324, Constantine I menjadi emperor bagi sekian empayar Rom. Dia selepas itu mempunyai perancangan untuk membina sebuah bandar kristian untuk menggantikan Byzantium. Dia juga bercadang untuk mengalih Nicomedia, ibu kota bagi Rom Timur ketika itu ke Byzantium. Constantine I menetap di Nicomedia selama 6 tahun selepas itu sehinggalah pada tahun 330, dia menjadikan Byzantium menjadi ibu kota rasmi bagi Empayar Rom sebelah timur. Kota ini kemudiannya dinamakan dengan nama Constantinople bermaksud bandar Constantine juga dinamakan New Rome.

Empayar Byzantine  juga dikenali Empayar Rom Timur (395M - 1493)


Setelah kematian emperor Theodosius I,  pergolakan dalam pemerintahan Rom berlaku yang membawa kepada perpecahan empayar Rom Barat dan Rom Timur juga dikenali sebagai Byzantine. Pada tahun 476, Constantinople menjadi ibu kota bagi empayar ini selepas kehancuran Rom Barat. Kota ini dilihat terus maju dan membangun. Kota ini selepas itu terus diserang oleh pelbagai musuh pada kurun seterusnya antaranya Avar, Bulgar dan Russia.

Empayar ini mula merundum ketika perang salib keempat. Antara tahun 1204 sehingga 1261, kota ini ditakluk seketika oleh Empayar Latin. Kejatuhan Constantinople kepada tentera salib melahirkan Empayar Latin yang tidak stabil di Constantinople.Ketika era ini, banyak kemusnahan berlaku dan populasi juga menurun mendadak. Selepas itu, pada tahun 1261, kota ini berjaya ditawan balik oleh Byzantine.Walaupun berjaya menawan semula, sumber ekonomi kota ini makin membimbangkan di samping kemusnahan yang dashyat bersisa.

Kejatuhan Constantinople


 Kerajaan Turki Othmaniyyah (1493 - 1923)                                                                                          

Semangat membara umat Islam untuk menguasai Constantinople berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang telah beberapa kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam seperti yang dinyatakan ketika Perang Khandak. Sabda Rasulullah SAW: ”Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”.

Isnin, 11 Oktober 2010

Sungai Siri 01

Sungai Danube di Budapest, Hungary
Tiba-tiba saje mahu tulis pasal sungai.

Sungai adalah saluran air semula jadi yang mengalir ke arah lautan, laut, tasik, atau ke arah sungai yang lain. Air sungai biasanya terbatas dalam satu saluran yang terdiri daripada dasar sungai dan tebing di kiri dan kanan.

Sungai-sungai kecil dipanggil dengan pelbagai nama seperti alor, anak sungai, parit dan sebagainya. Orang putih juga menamakannya dengan pelbagai nama juga seperti stream, creek, brook, rivulet, tributary dan rill.





Adapun sungai itu terbahagi kepada tiga bahagian:

1) Peringkat Muda (Hulu)

Di sinilah bermula punca sungai. Biasanya dari atas bukit atau gunung mengalir turun ke bawah. Sumber biasanya air hujan dan juga salji.

Soča River bermula dari gunung di Slovenia.
2) Peringkat Tengah (Dewasa)

Biasanya ia lebih lebar daripada sungai di peringkat hulu. Penempatan utama manusia banyak tertumpu pada peringkat ini. Tengok sahaja sungai Kelang, Sungai Kinta, Sungai Mekong dan seangkatan dengannya yang membentuk satu kehidupan di sekelilingnya. Jambatan biasanya terbina di peringkat ini.

3) Peringkat Hilir (Tua)

Sungai akan berakhir di sini. Masuk ke dalam lautan, laut, tasik dan sebagainya.

Sungai sememangnya ciptaan Allah SWT yang sangat menarik di samping memberi banyak manfaat kepada manusia. Oleh sebab tidak larat menulis panjang, lihat saja gambar-gambar sungai di bawah ini.

Jumaat, 8 Oktober 2010

Perjalanan Finland Siri 01 Intro

Kerana suka melawat website Ryanair, suatu hari rakan aku yang bernama Encik Malan menemui satu tiket yang agak berpatutan untuk ke Finland. Sememangnya untuk ke negara ini menaiki flight agak mahal, sebab itulah ramai ke Finland dengan menaiki feri dari Stockholm, kerana flight ke Stockholm dari mana-mana bandar di eropah lebih murah terutamanya Ryanair. Alang-alang dah sampai Stockholm, ramai yang tidak mahu lepaskan peluang ke negara Finland. Cadangan asal aku juga memang macam itu.

Dipendekkan cerita, setelah berfikir antara panjang dan pendek, kami pun bersetuju untuk menempah tiket tersebut yang berharga 58 Euro bersih termasuk segala cas untuk pergi dan balik. Ryanair adalah syarikat penerbangan tambang murah senantiasa mencari airport yang paling murah, yang biasanya agak jauh dari bandar utama. Inilah terjadi kepada kami, kerana kami hanya mahu pergi ke Helsinki sahaja, terpaksalah singgah di bandar ayam yang bernama Tampere. Tampere ini terletak dua jam dari Helsinki.

Ayam Golek
Kami mengambil flight ini di airport Bremen, Jerman. Disebabkan flight terlalu awal iaitu pada pukul 6 pagi, kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di airport tersebut. Kami berjumpa di stesen kereta api utama bandar Bremen pada jam 10 malam dari rumah masing-masing. Aku tinggal di barat Jerman manakala Encik Malan pula berada di utara Jerman. Sebelum bergerak menuju ke airport, kami singgah sebentar di sebuah kedai kebab Turki berhampiran dengan stesen kereta api untuk membeli kebab sebagai hidangan makan malam. Kami juga membeli seekor ayam golek sebagai hidangan tambahan, hahah sungguh gelojoh.



Strassenbahn di Bremen
Untuk ke Bremen Airport, kami perlu mengambil tren jalan atau bahasa tempatannya dipanggil Strassenbahn dari kedai kebab tadi. Strassenbahn ini mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke airport. Sesampainya di Airport, kelihatan tempat ini seperti kurang meriah, maklumlah airport ini akan ditutup sebentar sahaja nanti. Kebiasaanya, pada pukul 12 tengah malam airport ini akan ditutup. Nasib baik, kami sempat memasuki bangunan airport ini sebelum ditutup.

Isnin, 4 Oktober 2010

Amsterdam Siri 01 Info Berguna

Amsterdam terletak di Belanda. Amsterdam mempuyai tarikan yang agak berlainan berbanding bandar-bandar lain di eropah. Catatan kali ini berkisar tentang info berguna dan juga mungkin tidak berguna tentang Amsterdam.

Penginapan

Amsterdam mempunyai lebih 400 hotel berdaftar dari yang paling bajet hinggalah yang berbintang-bintang. Biasanya penginapan paling murah disediakan oleh pengusaha hostel. Budget traveller biasanya akan mencari hostel ini sebagai pilihan utama. Harga semalam untuk satu katil biasanya antara 15 Euro ke 30 Euro bergantung kepada jenis hostel, lokasi, jenis bilik dan masa.Harga ini adalah harga standard hostel di kebanyakan bandar-bandar lain di eropah barat. Biasanya permintaan yang sangat tinggi berlaku pada hari minggu dan hari cuti. Musim panas adalah musim yang paling ramai. Harga akan juga berganda. Untuk mengelak daripada tidak dapat penginapan, langkah menempah bilik lebih awal beberapa hari atau minggu mungkin juga bulan sebelum memulakan perjalanan adalah sangat bagus. Laman-laman seperti hostelworld dan juga hostelbookers selalu mendapat tempat.Antara kawasan di Amsterdam yang menjadi tumpuan penginapan seperti Old Center, Canal Ring, Jordaan dan juga kawasan red light district. Kawasan red light juga biasanya mempunyai tawaran harga yang menarik.

Jika punyai bajet lebih, boleh la mencuba menginap di hotel kadar mid-range, harga sekitar 50 Euro ke 150 Euro semalam atau ingin penginapan mewah yang melebihi 150 Euro semalam.

Makan

Contoh Falafel - Sumber Wikipedia
Dutch Cheese
Makan adalah satu keperluan. Bagi pelancong bajet, perbelanjaan untuk makanan sehari sekitar bawah 20 Euro termasuk minumlah.Pilihan makanan termasuk makanan timur tengah seperti falafel, shawarma yang berharga lingkungan 5 Euro ke 10 Euro, makanan Itali seperti pizza dari 5 Euro ke atas bergantung pada saiz, mungkin juga dari India, China, Pakistan dan juga Indonesia. Kebanyakan makanan dari pengusaha timur tengah seperti orang arab, mesir dan turki menyediakan makanan Halal,
manakala sesetengah restoran India, Pakistan dan Indonesia juga berbuat demikian. Biasanya akan terpampang tanda halal di depan kedai. Jadi, makanan halal di Amsterdam tiadalah sukar ditemui. Kalau hendak berjimat lagi, bawalah makanan sendiri dari rumah seperti nasi goreng, karipap, murtabak, akok dan sebagainya. Selain itu, membeli makanan seperti roti, sardin, tuna dan juga minuman di supermarket dapat juga mengurangkan belanja makan. Supermarket seperti Albert Heijn, Lidl, Aldi dan sebagainya bolehlah dilawati untuk berbelanja dengan hemah.



Jumaat, 1 Oktober 2010

Perihal Tren Siri 01

Naik kereta api boleh jadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Kereta api juga ada yang panggil kereta lipan, sebab panjang macam lipan. Adakah begitu? Haha. Apapun tren ini mempunyai tayar yang tak akan pancit. Apakah juga begitu?

Tren adalah siri kenderaan yang bercantum yang bergerak di atas landasan. Ianya umpama bas special yang hanya boleh bergerak di atas landasan yang tetap untuk mengangkut penumpang ataupun barang-barang dari satu tempat ke satu tempat. Landasan biasanya mempunyai dua rel, namun kini muncul pula monorel dan juga maglev. Tren menggunakan lokomotif untuk menggerakannya, biasanya lokomotif ini berada di bahagian hadapan tren atau di belakang, kadang kala kedua-keduanya (push-pull train).

Kebanyakan tren moden dikuasakan oleh lokomotif diesel dan masa kini banyak dikuasakan oleh tenaga elektrik, walaupun suatu ketika enjin stim digunakan sangat meluas. Tren juga boleh dikuasakan oleh sumber-sumber lain seperti tali atau wayar, graviti, pneumatik mahupun dengan kuda.

Apapun menaiki tren mempunyai kelebihan mahupun kekurangan. Mari kita lihat:

Kelebihan:


* Selamat        - Menaiki tren dikatakan lebih selamat, sebab tren bergerak di landasan sendiri, menjadikan kemungkinan untuk berlaku kemalangan kurang berbanding bas dan kereta.

Panorama dari tingkap tren
* Selesa           - Pergerakan dan perbuatan penumpang dilihat lebih bebas, berbanding bas, kereta mahupun kapal terbang. Dalam tren, penumpang bebas berjalan ke sana sini untuk menghirup udara segar, makan dan minum, pergi ke tandas juga bermain permainan seperti daun terup, dam haji dan sebagainya. Bahkan tren juga mempunyai kedai makan, mesin snack automatik dan sebagainya. Tren malam pula dilengkapi dengan katil mahupun tempat duduk yang lebih selesa berbanding bas dan kenderaan lain.

Panorama menaiki tren
* Panorama Indah - Orang naik tren juga mahu tengok pemandangan indah yang disajikan sepanjang perjalanan. Kebanyakan tren di eropah misalnya, menyediakan laluan scenic yang menjanjikan pemandangan yang begitu menakjubkan sepanjang perjalanan. Biasanya tren sebegini mempunyai cermin tingkap yang besar dan lebar untuk membolehkan para penumpang menikmati pemandangan juga mengambil gambar. Lihatlah contoh di tepi ini.






Isnin, 27 September 2010

Jerman Siri 01 Sejarah Ringkas


Sejarah Jerman tidak kurang menariknya. Begini, kita lihat mengikut tujuh peringkat. Siri kali ini berkisar empat peringkat pertama dahulu.


 1) Puak-puak Germanic

Perkembangan puak-puak Jermanik sekitar 750SM - 1M
Walaupun ketiadaan sebuah negara bangsa Jerman sebelum 1871, sejarah Jerman boleh dikatakan bermula sejak era puak-puak Jermanik. Asal-usul orang-orang Jermanik dikatakan bermula sewaktu Zaman Gangsa atau sekurang-kurangnya ketika Zaman Besi sebelum era orang-orang Rom. Dari selatan Scandinavia dan utara Jerman, puak-puak ini mula berkembang ke selatan, timur dan barat pada abad pertama SM dan membuat perhubungan dengan puak Celt di Gaul selain orang-orang Iran serta puak-puak Balt dan Slav di Eropah Timur. Sumber sejarah berkenaan puak ini hampir kesemuanya berasal daripada rekod Empayar Rom.



2) Empayar Holy Roman 962 - 1806

Martin Luther
Empayar zaman pertengahan ini terhasil melalui pembahagian Empayar Carolingia pada tahun 843, yang diasaskan oleh Charlemagne pada 25 Disember 800 dan wujud dalam bentuk yang berbeza-beza sehingga tahun 1806, dengan wilayahnya merangkumi Sungai Eider di utara hingga pantai Mediterranean di selatan. Seringkali dirujuk sebagai Empayar Rom Suci (atau Empayar Lama), ia secara rasminya digelar Empayar Rom Suci Bangsa Jerman (Sacrum Romanum Imperium Nationis Germanicæ) bermula pada tahun 1448 bagi menyesuaikan gelaran itu dengan wilayahnya yang telah dikurangkan.
Pada zaman inilah lahirnya seorang bernama Martin Luther. Martin Luther telah menerbitkan 95 Dalil-dalil pada tahun 1517 yang mencabar amalan-amalan Gereja Katolik Rom, sekaligus mencetuskan pergerakan Reformasi Protestan. Sebuah gereja Lutheran yang terpisah menjadi agama rasmi di beberapa negeri Jerman selepas tahun 1530. Perbalahan keagamaan ini terus memuncak sehingga membawa kepada Peperangan 30 Tahun (1618-1648) yang memusnahkan banyak tempat di seluruh wilayah Jerman.
  
3) Pemulihan dan Revolusi (1814–1871)

Berikutan kejatuhan Napoleon Bonaparte, Kongres Vienna bersidang pada tahun 1814 dan menubuhkan Gabungan Jerman (Deutscher Bund), iaitu sebuah liga yang agak longgar yang menghimpunkan 39 negeri-negeri yang berdaulat. Perselisihan faham berkenaan politik pemulihan membawa kepada kebangkitan pergerakan liberal, yang menuntut perpaduan dan kebebasan. Ketika ini jugalah, ramai orang Jerman dirangsang oleh idea-idea Revolusi Perancis dan semangat kebangsaan pula menjadi daya penggerak yang penting, teutamanya di kalangan intelektual. Buat pertama kalinya warna hitam, merah dan emas dipilih bagi mewakili pergerakan ini, yang kemudiannya menjadi warna-warna kebangsaan Jerman.

Jumaat, 24 September 2010

Pulau Perhentian Siri 01 Aktiviti

Pamandangan Biasa di Pulau Perhentian
Pulau Perhentian terletak di Besut, Terengganu, Malaysia. Adapun Pulau Perhentian ini terbahagi kepada dua pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil di samping ada lagi pulau-pulau lain berhampiran seperti Pulau Susu Dara, Serenggeh dan Rawa. Artikel akan datang bakal menerangkan tentang ini.

Untuk catatan kali ini, mari kita tengok aktiviti apa yang boleh dilakukan di pulau yang menjanjikan keindahan ini. Sememangnya, mereka yang datang ke sini untuk melepaskan tekanan di kala cuti, di samping bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan. Berjemur di bawah terik matahari yang menghadap ke arah pantai berpasir salah satu aktiviti santai yang menarik. Selain itu, mandi di pantai yang indah dan jernih juga menjadi syarat utama di kala jejak kaki ke sini. Selain itu, aktiviti di bawah ini boleh juga dibuat:

1)  Snorkeling

Perhentian menjanjikan pengalaman Snorkeling yang menarik. Hampir sekian resort menyediakan peralatan snorkelling yang purata harga sewa sekitar RM10. Namun begitu, jika mengambil pakej lengkap dengan resort, harga pakej akan termasuk dengan sewa peralatan. Di sana terdapat beberapa tempat snorkeling yang best. Antara namanya adalah Teluk Pauh, Shark Point dan Tanjung Basi. Bagi mereka yang menginap di Pulau Besar, tempat snorkeling adalah di depan chalet sahaja. Pilihlah tempat yang menarik untuk melihat ke dalam laut. Untuk melihat ikan yu, Shark Point adalah tempatnya dan hanya boleh sampai dengan bot. Untuk tengok penyu pula, biasanya perlu ke tengah laut sedikit dan hanya boleh ke sana dengan bot. Biasanya, pakej snorkelling akan membawa peserta ke tempat ini. Jika bernasib baik, bolehlah melihat penyu di dalam laut. Terumbu karang dan ikan pelbagai warna juga adalah daya penarik untuk aktiviti snorkeling. Lihatlah gambar di sebelah ini.

2)  Scuba Diving

Scuba Diving menjanjikan pengalaman yang lebih menarik berbanding snorkeling. Justeru, harga untuk aktiviti ini juga lebih tinggi. Tempat-tempat biasa untuk menyelam adalah Pinnacle (aka Tokong Laut, "Temple of the Sea") dan Sugar Wreck. Ada juga yang membawa penyelam ke Pulau Redang untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti ini, walaupun untuk pertama kali. Bagi mereka yang belum pernah lakukan, terdapat aktiviti pengenalan cara menyelam yang dibuat oleh Dive Center. Harus diingat jika memilih Dive Center, tengoklah dari segi peralatan dan kursus awal yang diberikan.

Isnin, 20 September 2010

Palermo Siri 01 Am

Pengetahuan Am Tentang Palermo

Lokasi Palermo di Itali
Tahukah anda di mana itu Palermo? Palermo di sini merujuk kepada satu tempat di Itali. Ia terletak di selatan Itali, di atas pulau yang bernama Sicily.

Ia juga adalah ibu negeri bagi wilayah berautoriti Sicily.

Tempat ini mempunyai sejarah yang panjang. Lebih 2700 tahun lamanya. Diasaskan oleh puak Phoenicia, diberi nama "Ziz" kemudian orang Greek pula menamakan sebagai Panormus yang membawa maksud "pelabuhan semua' kemudian wilayah ini diperintah oleh kaum arab, yang membawa kepada kemajuan di bawah kerajaan yang dipanggil Emirate of Sicily pada tahun 965 hingga 1072. Semasa pemerintahan arab ini, banyak masjid dan istana dibina di sekian palermo.


Palermo sebelum itu pernah menjadi sebahagian daripada Republik Rom dan akhirnya sebahagian daripada Empayar Byzantine, selama lebih dari seribu tahun.
  
Setelah ditawan oleh Norman (1060-1080 AC) sebahagian besar istana dan masjid hancur, namun penguasa baru mengeksploitasi persekitaran kosmopolitan Palermo, seniman dan seni bina dari pelbagai budaya untuk melahirkan gaya seni bina yang unik, yang disebut "Arab-Norman Style of Sicily" yang merupakan campuran asli dekorasi Arab, seni bina Rom dan mosaik Byzantine. 

Salah satu pemandangan Palermo
Palermo menjadi ibu kota kerajaan baru (1130-1816), Kerajaan Sicily akhirnya bersatu dengan Kerajaan Naples untuk membentuk "Two Sicilies"  hingga penyatuan Itali 1860. 


Penduduk kawasan bandar Palermo kini dianggarkan seramai 660 ribu. Penduduknya dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Palermitans atau dalam bahasa puitis panormiti. Bahasa-bahasa yang dituturkan oleh penduduknya adalah bahasa Itali dengan dialek Sicily.

Palermo adalah salah satu bandar terbesar di Mediterranean dan sekarang di antara destinasi pelancongan utama baik di Itali dan Eropah.
 

Jumaat, 17 September 2010

Bergen Siri 01 Tarikan

Bergen dimaksudkan di sini terletak di Norway. Ia adalah bandar kedua terbesar di sana. Bergen menjanjikan pelbagai tarikan. Post ini menyelami tempat-tempat yang patut dilihat bilanya sampai di sana.

Kita pecahkan mengikut kawasan.

1) Downtown

    a) Bergen Art Musuem

Bagi yang meminati muzium pergilah ke sini. Muzium kesenian antara yang terbesar di negara nordic. Memaparkan kisah seni dari zaman Renaissance hingga zaman muktakhir.

    b) The Fish Market (Fisketorget) 

Sebenarnya pasar ikan ini ada sejarah sendirinya. Dahulu, ikan segar didaratkan di sini dan menjadi tumpuan penduduk tempatan. Hari ini, pasar ini wujud untuk menarik pelancong, yang mana terdapat  juga tempat menjual cendera hati di sini. Ikan di sini juga tidaklah terus dari nelayan seperti dulu kala, tetapi sekurangnya pelancong mendapat gambaran kasar tentang jenis-jenis ikan yang ada di sini.Yang menariknya, penjual di sini akan menawarkan cebisan ikan percuma untuk dirasai.



Pasar Ikan Bergen
  c) Fløibanen

Rasailah keindahan panaroma Bergen dengan menaiki Funicular bernama Fløibanen untuk ke Fløyen. Fløyen adalah salah satu daripada tujuh gunung yang mengelilingi bandar Bergen. Kenderaan ini mengambil masa selama lebih kurang 8 minit untuk sampai ke ketinggian 320 meter. Ketinggian sebenar gunung ini adalah 425m. Mungkin gambar di bawah ini boleh memberi gambaran.

Funicular menuju ke Fløyen

Panorama dari atas Fløyen
 d) Statsraad Lehmkuhl

Tarikan Bergen juga adalah pada kapal layar yang bernama Statsraad Lehmkuhl. Kapal layar yang mempunyai tiga tiang ini menjadi tarikan di Bergen. Dibina pada 1914. Ambillah peluang untuk melayari di atas kapal ini, jika punyai masa dan wang. Tempahan awal perlu dibuat untuk mengelak daripada terlepas peluang.

Statsraad Lehmkuhl - Sumber: Wikitravel
   e) Lain-lain tempat 

seperti The West Norway Museum of Decorative Art , St. Jørgen's Hospital, Bergen Aquarium dan St. Mary's Church (Mariakirken)

Isnin, 13 September 2010

Istanbul Siri 01 Cara Masuk

Istanbul itu unik. Ianya terletak di antara dua benua iaitu asia dan juga eropah. Selat Bosphorus memisahkan Istanbul eropah dan asia. Istanbul merupakan kota metropolitan yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Sehingga 2009, angka mencatat seramai hampir 13 juta manusia di sana, ianya di tempat kelima di dunia ini dari segi populasi.


Kerana keunikannya, Istanbul memanglah menjadi arah tuju pelancong. Sejarah yang agung, budaya dan kepelbagaian makanan menarik menjadikannya tempat yang seharusnya dilawati. Sebelum memanjangkan cerita, mari kita tengok bagaimana caranya ke sana.

Malaysia Airline System (MAS) mungkinlah menjadi pilihan utama untuk ke destinasi ini dari Malaysia kerana menyediakan penerbangan terus dengan tempoh 10-12 jam tanpa henti. Mungkin juga pilihan Emirates Airlines menarik. Berbeza dengan MAS, penerbangan Emirates akan singgah sebentar di Dubai untuk transit, sebelum terbang semula ke Istanbul dari Dubai.

Jumaat, 10 September 2010

Selamat Datang

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431H. Blog ini dimulakan pada malam raya. Blog ini hanya untuk masa lapang, mungkin seminggu dua post sahaja kot atau mungkin sebulan sekali. Ceritanya pula berkisar dengan tempat-tempat yang menarik mahupun bosan di seluruh pelusok. Terima kasih kerana mengunjungi.