Kerana suka melawat
website Ryanair, suatu hari rakan aku yang bernama Encik Malan menemui satu tiket yang agak berpatutan untuk ke Finland. Sememangnya untuk ke negara ini menaiki
flight agak mahal, sebab itulah ramai ke Finland dengan menaiki feri dari Stockholm, kerana
flight ke Stockholm dari mana-mana bandar di eropah lebih murah terutamanya Ryanair. Alang-alang dah sampai Stockholm, ramai yang tidak mahu lepaskan peluang ke negara Finland. Cadangan asal aku juga memang macam itu.
Dipendekkan cerita, setelah berfikir antara panjang dan pendek, kami pun bersetuju untuk menempah tiket tersebut yang berharga 58 Euro bersih termasuk segala cas untuk pergi dan balik. Ryanair adalah syarikat penerbangan tambang murah senantiasa mencari airport yang paling murah, yang biasanya agak jauh dari bandar utama. Inilah terjadi kepada kami, kerana kami hanya mahu pergi ke Helsinki sahaja, terpaksalah singgah di bandar ayam yang bernama Tampere. Tampere ini terletak dua jam dari Helsinki.
|
Ayam Golek |
Kami mengambil flight ini di airport Bremen, Jerman. Disebabkan flight terlalu awal iaitu pada pukul 6 pagi, kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di airport tersebut. Kami berjumpa di stesen kereta api utama bandar Bremen pada jam 10 malam dari rumah masing-masing. Aku tinggal di barat Jerman manakala Encik Malan pula berada di utara Jerman. Sebelum bergerak menuju ke airport, kami singgah sebentar di sebuah kedai kebab Turki berhampiran dengan stesen kereta api untuk membeli kebab sebagai hidangan makan malam. Kami juga membeli seekor ayam golek sebagai hidangan tambahan, hahah sungguh gelojoh.
|
Strassenbahn di Bremen |
Untuk ke Bremen Airport, kami perlu mengambil tren jalan atau bahasa tempatannya dipanggil
Strassenbahn dari kedai kebab tadi.
Strassenbahn ini mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke airport. Sesampainya di Airport, kelihatan tempat ini seperti kurang meriah, maklumlah airport ini akan ditutup sebentar sahaja nanti. Kebiasaanya, pada pukul 12 tengah malam airport ini akan ditutup. Nasib baik, kami sempat memasuki bangunan airport ini sebelum ditutup.
|
Ruang dalam Bremen Airport |
Sekitar jam 1 pagi, airport ini pun ditutup. Di dalam bangunan terminal airport ketika ini, hanya tinggal beberapa orang sahaja, lebih kurang sepuluh orang, mungkin mereka ini senasib dengan kami. Mereka juga bijak kerana berjaya mendapat
port yang baik untuk berehat dan juga melelapkan mata sementara menunggu
flight. Kami juga berjaya menemui tempat yang terbaik. Kebanyakan tempat duduk di dalam bangunan ini sangat selesa ditambah pula dengan kemudahan tandas serta suhu di dalam ini juga sangat nyaman berbanding di luar sana yang mencecah 10 darjah Celcius. Kami mengambil keputusan untuk membantai makanan yang dibeli tadi sebelum melelapkan mata. Selepas makan, kami bersembang-sembang sebelum tidur. Tiba-tiba datang seorang pakcik guard datang dengan mesranya menyapa. Pakcik guard ini mempunyai seekor anjing yang sangat besar bersamanya. Anjing ini agak besar, sebesar budak darjah tiga lebih kurang dan kelihatan begitu baik bersama tuannya. Pakcik ini menanyakan tujuan duduk dalam bangunan ini, lantas kami menunjukkan tiket online yang dicetak untuk memudahkan cerita. Beliau nampak berpuas hati dengan tiket tersebut, kerana beliau khuatir takut-takut kami ini hanya mahu menumpang di bangunan ini tanpa sebarang tujuan. Beliau yang peramah ini kemudiannya menunjukkan di mana letaknya kaunter untuk mendaftar masuk esok sebelum beredar dengan anjing kesayangan beliau ini. Lupa pula nak ambil gambar beliau bersama anjing beliau. Selepas beberapa ketika kemudian, kami pun berjaya tidur, walaupun ianya hanyalah tidur ayam.
Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi, dengan keadaan yang kemamai, kami pun menuju ke kaunter daftar masuk untuk Ryanair yang terletak di terminal sebelah. Kaunter Ryanair ini sangatlah low budget. Pada masa ini tidak ramai yang beratur, jadi kami berjaya mendaftar masuk tanpa beratur panjang. Setelah check in, kami pun melalui kawasan pemeriksaan keselamatan tanpa seberang masalah. Sebelum dibenarkan menaiki pesawat, kami lepak-lepak dahulu di bahagian menunggu. Tepat jam 6.00 pagi lebih kurang, kami dijemput untuk masuk ke dalam pesawat sebelum pesawat berlepas ke Finland pada jam 06.30 pagi. Penerbangan mengambil masa dua jam.
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan