Iklan

Isnin, 4 Oktober 2010

Amsterdam Siri 01 Info Berguna

Amsterdam terletak di Belanda. Amsterdam mempuyai tarikan yang agak berlainan berbanding bandar-bandar lain di eropah. Catatan kali ini berkisar tentang info berguna dan juga mungkin tidak berguna tentang Amsterdam.

Penginapan

Amsterdam mempunyai lebih 400 hotel berdaftar dari yang paling bajet hinggalah yang berbintang-bintang. Biasanya penginapan paling murah disediakan oleh pengusaha hostel. Budget traveller biasanya akan mencari hostel ini sebagai pilihan utama. Harga semalam untuk satu katil biasanya antara 15 Euro ke 30 Euro bergantung kepada jenis hostel, lokasi, jenis bilik dan masa.Harga ini adalah harga standard hostel di kebanyakan bandar-bandar lain di eropah barat. Biasanya permintaan yang sangat tinggi berlaku pada hari minggu dan hari cuti. Musim panas adalah musim yang paling ramai. Harga akan juga berganda. Untuk mengelak daripada tidak dapat penginapan, langkah menempah bilik lebih awal beberapa hari atau minggu mungkin juga bulan sebelum memulakan perjalanan adalah sangat bagus. Laman-laman seperti hostelworld dan juga hostelbookers selalu mendapat tempat.Antara kawasan di Amsterdam yang menjadi tumpuan penginapan seperti Old Center, Canal Ring, Jordaan dan juga kawasan red light district. Kawasan red light juga biasanya mempunyai tawaran harga yang menarik.

Jika punyai bajet lebih, boleh la mencuba menginap di hotel kadar mid-range, harga sekitar 50 Euro ke 150 Euro semalam atau ingin penginapan mewah yang melebihi 150 Euro semalam.

Makan

Contoh Falafel - Sumber Wikipedia
Dutch Cheese
Makan adalah satu keperluan. Bagi pelancong bajet, perbelanjaan untuk makanan sehari sekitar bawah 20 Euro termasuk minumlah.Pilihan makanan termasuk makanan timur tengah seperti falafel, shawarma yang berharga lingkungan 5 Euro ke 10 Euro, makanan Itali seperti pizza dari 5 Euro ke atas bergantung pada saiz, mungkin juga dari India, China, Pakistan dan juga Indonesia. Kebanyakan makanan dari pengusaha timur tengah seperti orang arab, mesir dan turki menyediakan makanan Halal,
manakala sesetengah restoran India, Pakistan dan Indonesia juga berbuat demikian. Biasanya akan terpampang tanda halal di depan kedai. Jadi, makanan halal di Amsterdam tiadalah sukar ditemui. Kalau hendak berjimat lagi, bawalah makanan sendiri dari rumah seperti nasi goreng, karipap, murtabak, akok dan sebagainya. Selain itu, membeli makanan seperti roti, sardin, tuna dan juga minuman di supermarket dapat juga mengurangkan belanja makan. Supermarket seperti Albert Heijn, Lidl, Aldi dan sebagainya bolehlah dilawati untuk berbelanja dengan hemah.



Jika sudah berada di negara Belanda, elok juga mengambil peluang untuk merasai keju belanda. Belanda terkenal dengan kejunya yang dikenali sebagai dutch cheese.

Cannabis, Drugs dan Red Light District


Lesen di Coffeeshop - Sumber: Wikipedia
Belanda terkenal polisi liberalnya terhadap dadah dan juga aktiviti pelacuran. Coffeeshop (jangan keliru dengan Coffeehouse atau cafe) dibenarkan untuk menjual cannabis dan harsh pada had 5 gram bagi setiap orang. Penjualan dadah jenis lain adalah tidak dibenarkan oleh kerajaan, walaupun terdapat yang berbuat demikian. Kini terdapat lebih kurang 250 Coffeeshop di Amsterdam. Hanya coffeeshop yang mempunyai lesen sahaja sah beroperasi. Harga bagi satu gram biasanya bermula dengan 5 Euro.


Red Light District di Amsterdam pula sangat terkenal seluruh dunia dengan kawasan aktiviti pelacuran. Belanda yang terkenal dengan sikap liberalnya membuka satu kawasan untuk tujuan tersebut. Aktiviti ini semakin rancak pada waktu malam. Kawasan ini juga menjadi tumpuan pelancong yang tidak berurusan dengan aktiviti ini untuk bersiar-siar.Jika mengabaikan kawasan Red Light District, Amsterdam adalah destinasi percutian keluarga yang menarik.

Basikal 

Cara bagus juga untuk membuat pusingan dalam Amsterdam adalah dengan berbasikal. Di Amsterdam terdapat kira-kira 750 ribu orang. 600 ribu basikal dianggarkan dimiliki oleh penduduk di Amsterdam. Bandar ini tersangatlah mesra basikal. Jadi ambillah peluang menyewa basikal sekitar 9 Euro ke 20 Euro. Laluan basikal disediakan di bandar ini. Untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan, basikal hendaklah dikayuh di laluan yang disediakan. Disebabkan Amsterdam adalah antara bandar yang mencatatkan angka kecurian basikal tertinggi di dunia, jadi langkah-langkah berjaga haruslah dititik beratkan. Kalau hilang tak pasal-pasal kena ganti. Mahal juga harga seekor basikal.

Kawasan pejalan kaki dengan laluan basikal

Pejalan kaki juga harus berwaspada apabila hendak melintasi laluan ini, kerana ada penunggang basikal yang begitu laju melalui laluan ini. Kadang-kala mereka begitu agresif membunyikan loceng yang membingitkan telinga ketika melintasi kawasan ini. Ada juga dengan muka bengis hendak memarahi orang yang melintas laluan tanpa toleh kiri dan kanan.

Sekian dulu, adapun harga-harga dinyatakan adalah dirujuk di internet dan juga pengalaman sendiri. Mungkin harga ini akan berubah. Nanti sambung lagi pasal Amsterdam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan