Iklan

Isnin, 27 September 2010

Jerman Siri 01 Sejarah Ringkas


Sejarah Jerman tidak kurang menariknya. Begini, kita lihat mengikut tujuh peringkat. Siri kali ini berkisar empat peringkat pertama dahulu.


 1) Puak-puak Germanic

Perkembangan puak-puak Jermanik sekitar 750SM - 1M
Walaupun ketiadaan sebuah negara bangsa Jerman sebelum 1871, sejarah Jerman boleh dikatakan bermula sejak era puak-puak Jermanik. Asal-usul orang-orang Jermanik dikatakan bermula sewaktu Zaman Gangsa atau sekurang-kurangnya ketika Zaman Besi sebelum era orang-orang Rom. Dari selatan Scandinavia dan utara Jerman, puak-puak ini mula berkembang ke selatan, timur dan barat pada abad pertama SM dan membuat perhubungan dengan puak Celt di Gaul selain orang-orang Iran serta puak-puak Balt dan Slav di Eropah Timur. Sumber sejarah berkenaan puak ini hampir kesemuanya berasal daripada rekod Empayar Rom.



2) Empayar Holy Roman 962 - 1806

Martin Luther
Empayar zaman pertengahan ini terhasil melalui pembahagian Empayar Carolingia pada tahun 843, yang diasaskan oleh Charlemagne pada 25 Disember 800 dan wujud dalam bentuk yang berbeza-beza sehingga tahun 1806, dengan wilayahnya merangkumi Sungai Eider di utara hingga pantai Mediterranean di selatan. Seringkali dirujuk sebagai Empayar Rom Suci (atau Empayar Lama), ia secara rasminya digelar Empayar Rom Suci Bangsa Jerman (Sacrum Romanum Imperium Nationis Germanicæ) bermula pada tahun 1448 bagi menyesuaikan gelaran itu dengan wilayahnya yang telah dikurangkan.
Pada zaman inilah lahirnya seorang bernama Martin Luther. Martin Luther telah menerbitkan 95 Dalil-dalil pada tahun 1517 yang mencabar amalan-amalan Gereja Katolik Rom, sekaligus mencetuskan pergerakan Reformasi Protestan. Sebuah gereja Lutheran yang terpisah menjadi agama rasmi di beberapa negeri Jerman selepas tahun 1530. Perbalahan keagamaan ini terus memuncak sehingga membawa kepada Peperangan 30 Tahun (1618-1648) yang memusnahkan banyak tempat di seluruh wilayah Jerman.
  
3) Pemulihan dan Revolusi (1814–1871)

Berikutan kejatuhan Napoleon Bonaparte, Kongres Vienna bersidang pada tahun 1814 dan menubuhkan Gabungan Jerman (Deutscher Bund), iaitu sebuah liga yang agak longgar yang menghimpunkan 39 negeri-negeri yang berdaulat. Perselisihan faham berkenaan politik pemulihan membawa kepada kebangkitan pergerakan liberal, yang menuntut perpaduan dan kebebasan. Ketika ini jugalah, ramai orang Jerman dirangsang oleh idea-idea Revolusi Perancis dan semangat kebangsaan pula menjadi daya penggerak yang penting, teutamanya di kalangan intelektual. Buat pertama kalinya warna hitam, merah dan emas dipilih bagi mewakili pergerakan ini, yang kemudiannya menjadi warna-warna kebangsaan Jerman.

Jumaat, 24 September 2010

Pulau Perhentian Siri 01 Aktiviti

Pamandangan Biasa di Pulau Perhentian
Pulau Perhentian terletak di Besut, Terengganu, Malaysia. Adapun Pulau Perhentian ini terbahagi kepada dua pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil di samping ada lagi pulau-pulau lain berhampiran seperti Pulau Susu Dara, Serenggeh dan Rawa. Artikel akan datang bakal menerangkan tentang ini.

Untuk catatan kali ini, mari kita tengok aktiviti apa yang boleh dilakukan di pulau yang menjanjikan keindahan ini. Sememangnya, mereka yang datang ke sini untuk melepaskan tekanan di kala cuti, di samping bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan. Berjemur di bawah terik matahari yang menghadap ke arah pantai berpasir salah satu aktiviti santai yang menarik. Selain itu, mandi di pantai yang indah dan jernih juga menjadi syarat utama di kala jejak kaki ke sini. Selain itu, aktiviti di bawah ini boleh juga dibuat:

1)  Snorkeling

Perhentian menjanjikan pengalaman Snorkeling yang menarik. Hampir sekian resort menyediakan peralatan snorkelling yang purata harga sewa sekitar RM10. Namun begitu, jika mengambil pakej lengkap dengan resort, harga pakej akan termasuk dengan sewa peralatan. Di sana terdapat beberapa tempat snorkeling yang best. Antara namanya adalah Teluk Pauh, Shark Point dan Tanjung Basi. Bagi mereka yang menginap di Pulau Besar, tempat snorkeling adalah di depan chalet sahaja. Pilihlah tempat yang menarik untuk melihat ke dalam laut. Untuk melihat ikan yu, Shark Point adalah tempatnya dan hanya boleh sampai dengan bot. Untuk tengok penyu pula, biasanya perlu ke tengah laut sedikit dan hanya boleh ke sana dengan bot. Biasanya, pakej snorkelling akan membawa peserta ke tempat ini. Jika bernasib baik, bolehlah melihat penyu di dalam laut. Terumbu karang dan ikan pelbagai warna juga adalah daya penarik untuk aktiviti snorkeling. Lihatlah gambar di sebelah ini.

2)  Scuba Diving

Scuba Diving menjanjikan pengalaman yang lebih menarik berbanding snorkeling. Justeru, harga untuk aktiviti ini juga lebih tinggi. Tempat-tempat biasa untuk menyelam adalah Pinnacle (aka Tokong Laut, "Temple of the Sea") dan Sugar Wreck. Ada juga yang membawa penyelam ke Pulau Redang untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti ini, walaupun untuk pertama kali. Bagi mereka yang belum pernah lakukan, terdapat aktiviti pengenalan cara menyelam yang dibuat oleh Dive Center. Harus diingat jika memilih Dive Center, tengoklah dari segi peralatan dan kursus awal yang diberikan.

Isnin, 20 September 2010

Palermo Siri 01 Am

Pengetahuan Am Tentang Palermo

Lokasi Palermo di Itali
Tahukah anda di mana itu Palermo? Palermo di sini merujuk kepada satu tempat di Itali. Ia terletak di selatan Itali, di atas pulau yang bernama Sicily.

Ia juga adalah ibu negeri bagi wilayah berautoriti Sicily.

Tempat ini mempunyai sejarah yang panjang. Lebih 2700 tahun lamanya. Diasaskan oleh puak Phoenicia, diberi nama "Ziz" kemudian orang Greek pula menamakan sebagai Panormus yang membawa maksud "pelabuhan semua' kemudian wilayah ini diperintah oleh kaum arab, yang membawa kepada kemajuan di bawah kerajaan yang dipanggil Emirate of Sicily pada tahun 965 hingga 1072. Semasa pemerintahan arab ini, banyak masjid dan istana dibina di sekian palermo.


Palermo sebelum itu pernah menjadi sebahagian daripada Republik Rom dan akhirnya sebahagian daripada Empayar Byzantine, selama lebih dari seribu tahun.
  
Setelah ditawan oleh Norman (1060-1080 AC) sebahagian besar istana dan masjid hancur, namun penguasa baru mengeksploitasi persekitaran kosmopolitan Palermo, seniman dan seni bina dari pelbagai budaya untuk melahirkan gaya seni bina yang unik, yang disebut "Arab-Norman Style of Sicily" yang merupakan campuran asli dekorasi Arab, seni bina Rom dan mosaik Byzantine. 

Salah satu pemandangan Palermo
Palermo menjadi ibu kota kerajaan baru (1130-1816), Kerajaan Sicily akhirnya bersatu dengan Kerajaan Naples untuk membentuk "Two Sicilies"  hingga penyatuan Itali 1860. 


Penduduk kawasan bandar Palermo kini dianggarkan seramai 660 ribu. Penduduknya dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Palermitans atau dalam bahasa puitis panormiti. Bahasa-bahasa yang dituturkan oleh penduduknya adalah bahasa Itali dengan dialek Sicily.

Palermo adalah salah satu bandar terbesar di Mediterranean dan sekarang di antara destinasi pelancongan utama baik di Itali dan Eropah.
 

Jumaat, 17 September 2010

Bergen Siri 01 Tarikan

Bergen dimaksudkan di sini terletak di Norway. Ia adalah bandar kedua terbesar di sana. Bergen menjanjikan pelbagai tarikan. Post ini menyelami tempat-tempat yang patut dilihat bilanya sampai di sana.

Kita pecahkan mengikut kawasan.

1) Downtown

    a) Bergen Art Musuem

Bagi yang meminati muzium pergilah ke sini. Muzium kesenian antara yang terbesar di negara nordic. Memaparkan kisah seni dari zaman Renaissance hingga zaman muktakhir.

    b) The Fish Market (Fisketorget) 

Sebenarnya pasar ikan ini ada sejarah sendirinya. Dahulu, ikan segar didaratkan di sini dan menjadi tumpuan penduduk tempatan. Hari ini, pasar ini wujud untuk menarik pelancong, yang mana terdapat  juga tempat menjual cendera hati di sini. Ikan di sini juga tidaklah terus dari nelayan seperti dulu kala, tetapi sekurangnya pelancong mendapat gambaran kasar tentang jenis-jenis ikan yang ada di sini.Yang menariknya, penjual di sini akan menawarkan cebisan ikan percuma untuk dirasai.



Pasar Ikan Bergen
  c) Fløibanen

Rasailah keindahan panaroma Bergen dengan menaiki Funicular bernama Fløibanen untuk ke Fløyen. Fløyen adalah salah satu daripada tujuh gunung yang mengelilingi bandar Bergen. Kenderaan ini mengambil masa selama lebih kurang 8 minit untuk sampai ke ketinggian 320 meter. Ketinggian sebenar gunung ini adalah 425m. Mungkin gambar di bawah ini boleh memberi gambaran.

Funicular menuju ke Fløyen

Panorama dari atas Fløyen
 d) Statsraad Lehmkuhl

Tarikan Bergen juga adalah pada kapal layar yang bernama Statsraad Lehmkuhl. Kapal layar yang mempunyai tiga tiang ini menjadi tarikan di Bergen. Dibina pada 1914. Ambillah peluang untuk melayari di atas kapal ini, jika punyai masa dan wang. Tempahan awal perlu dibuat untuk mengelak daripada terlepas peluang.

Statsraad Lehmkuhl - Sumber: Wikitravel
   e) Lain-lain tempat 

seperti The West Norway Museum of Decorative Art , St. Jørgen's Hospital, Bergen Aquarium dan St. Mary's Church (Mariakirken)

Isnin, 13 September 2010

Istanbul Siri 01 Cara Masuk

Istanbul itu unik. Ianya terletak di antara dua benua iaitu asia dan juga eropah. Selat Bosphorus memisahkan Istanbul eropah dan asia. Istanbul merupakan kota metropolitan yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Sehingga 2009, angka mencatat seramai hampir 13 juta manusia di sana, ianya di tempat kelima di dunia ini dari segi populasi.


Kerana keunikannya, Istanbul memanglah menjadi arah tuju pelancong. Sejarah yang agung, budaya dan kepelbagaian makanan menarik menjadikannya tempat yang seharusnya dilawati. Sebelum memanjangkan cerita, mari kita tengok bagaimana caranya ke sana.

Malaysia Airline System (MAS) mungkinlah menjadi pilihan utama untuk ke destinasi ini dari Malaysia kerana menyediakan penerbangan terus dengan tempoh 10-12 jam tanpa henti. Mungkin juga pilihan Emirates Airlines menarik. Berbeza dengan MAS, penerbangan Emirates akan singgah sebentar di Dubai untuk transit, sebelum terbang semula ke Istanbul dari Dubai.

Jumaat, 10 September 2010

Selamat Datang

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431H. Blog ini dimulakan pada malam raya. Blog ini hanya untuk masa lapang, mungkin seminggu dua post sahaja kot atau mungkin sebulan sekali. Ceritanya pula berkisar dengan tempat-tempat yang menarik mahupun bosan di seluruh pelusok. Terima kasih kerana mengunjungi.